Selaku penyandang juara lelaki kebangsaan Jom Kurus 1 Malaysia, JK1M musim pertama, mengekalkan kejuaraan pada musim kedua ini bukanlah satu matlamat utama. Apa yang diperlukan sebenarnya adalah mendapatkan berat badan ideal serta komposisi badan pada tahap yang terbaik supaya dapat mengurangkan risiko potensi penyakit kardiovaskular yang tinggi seperti darah tinggi, kolesterol, masalah hati, jantung dan kencing manis. Alhamdulillah, darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan sakit migrain telah hilang! Pertama kali dalam sejarah, pada sesi temujanji pada 28 April yang lalu di Pusat Kesihatan Seri Iskandar, Perak, doktor tidak lagi memberi sebarang ubat-ubatan seperti mana sebelumnya. Jenuh dan dah serik menelannya!
Penangan Musim Kenduri dan Godaan Makanan
Berat badan pada 28 Mac 2014 adalah 68.4kg. Namun selepas beberapa hari ‘Cheat Meal Day’ sempena musim kenduri perkahwinan dan terliur memakan Kuetiau Sup Taiping dan Laksa Buyong Bukit Gantang (yang dimakan pada hari yang sama) berat badan naik mendadak sehingga mencapai 73.1kg pada 30 Mac 2014. Dengan sedikit panik rutin senaman telah digandakan dengan senaman kardio iaitu berlari 5 kilometer di Tasik Universiti Teknologi Petronas seawal 6.40pagi dan selepas 5.00 petang yang masing-masing mengambil masa kira-kira 40minit. Aktiviti gym juga terpaksa digandakan waktunya daripada 1jam kepada 1jam 30minit dengan melakukan aktiviti berbasikal, berlari di atas tanjakan serta sedikit latihan mengangkat berat.
Aktiviti Minggu Ke-3 (30 Mac 2014)
Antara aktiviti yang dijalankan adalah HIIT(High Intensity Interval Training) dengan melakukan ‘Hill Sprint’ di bawah kelolaan Ketua Pasukan En. Faiz Hamzah.
Seterusnya berlari ke padang dan bersedia untuk ‘Circuit Training’ seperti ‘Bodyweight Circuit’ dan ‘Circuit With Weights and Bands’. Aktiviti seterusnya adalah ‘Bodycombat’ daripada jurulatih Azmil Mubarak. Sesi soal-jawab dan perkongsian menjadi penutup latihan pada hari tersebut.
![body combat]()
![body combat2]()
Komposisi Badan
Sesetengah orang hanya mementingkan kepada soal penurunan berat semata-mata tanpa mengambilkira faktor-faktor lain seperti peratusan lemak, peratusan air dalam badan, jisim otot, tahap fizikal, kadar metabolisme badan, umur badan, jisim tulang, dan kandungan lemak dalam badan. Berikut adalah kompoisi badan semasa pada 31 Mac 2014.
Berat asal (15 Mac 2014): 79.7kg Tinggi: 1.65
Berat Semasa: 69.5kg
BMI = 69.5 / [1.65 x 1.65] = 25.53 Status: Terlebih Berat. Belum mencapai BMI ideal.
Sasaran BMI: 22
Peratusan Lemak Badan: 19.6% Status: Baik
Sasaran Peratusan Lemak Badan: 16%
Peratusan Kandungan Air Dalam Badan: 58.8% Status: Kurang Baik
Sasaran Peratusan Kandungan Air Dalam Badan: 60% Menghampiri Sasaran.
Tahap Fizikal: 6 Status: Standard Berotot
Sasaran Tahap Fizikal: 6. Sasaran Tercapai.
Kadar Metabolisme Badan, BMR: 1618
Umur Badan: 30
Sasaran Umur Badan: 28 tahun.
Jisim Tulang: 3.0 Status: Normal
Tahap Lemak dalam organ: 12 Status: Kurang baik.
Mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang tinggi seperti darah tinggi, kolesterol, masalah hati dan kencing manis.
Sasaran Tahap Lemak dalam organ: 8
*Nota: Untuk mendapatkan komposisi badan anda, sila rujuk mana-mana jurulatih kecergasan di mana-mana pusat kecergasan berhampiran anda.
Ekstra: Bagaimana Menurunkan Berat Semasa Hari Menimbang?
Hakikat penurunan berat adalah mengeluarkan air dalam badan menerusi peluh. Semakin banyak kita berpeluh maka, potensi untuk turun berat badan semakin tinggi. Contoh: Melompat tali selama 30 minit tanpa henti berupaya membuang peluh di dalam badan sehingga 500gram! Berikut adalah beberapa petua yang pernah saya amalkan untuk dikongsi bersama berdasarkan pengalaman penulis.
1. Lakukan sebarang senaman pada awal pagi selama kira-kira 30minit. Pastikan peluh mengalir keluar dengan cukup banyak. Tukar set pakaian baru. Potensi turun berat: 200-500gram. Minum air sekadar perlu, seminimum yang mungkin.
2. Semasa dalam perjalanan menaiki kereta, matikan penyaman udara dan kipas. Buka sedikit tingkap kereta untuk pengudaraan. Strategi ini memberikan kesan sauna di dalam kereta, seterusnya merangsang badan mengeluarkan peluh! Bersauna di dalam kereta! Ketika sampai di pusat latihan, tukar set pakaian baru. Potensi turun berat: 200-400gram.
3. Jika sesi timbangan masih belum bermula, lakukan sebarang senaman. Contohnya melompat tali atau berlari. Pastikan berpeluh. Minum air sekadar perlu, seminimum yang mungkin. Potensi turun berat: 200-500gram. Tukar set pakaian baru.
4. Semasa sesi menimbang, pastikan anda memakai pakaian sukan yang paling ringan! Lihatlah perbezaan ketara pada berat anda pada hari itu!
5. Selepas sesi menimbang barulah makan dan minum sepuas-puasnya! Selamat mencuba.
Baiklah kawan-kawan semua. Kita jumpa lagi di lain masa. Salam ceria, senyum selalu!
The post Isa Abdullah: Minggu ke-3 – Menangani Masalah Berat Badan appeared first on KevinZahri.com.